http://i1067.photobucket.com/albums/u422/shyllz/largecopy.png

Friday, December 6, 2013

Nenda...dalam kenangan

Catatan Sembilan

Tahun 2013, Kampong Kelantan
Kota Tinggi, Johor


Disember 01, 2013

Seperti biasa, balik sahaja dari kerja sekitar jam 09:45 malam, aku dan adik-adik serta sepupu aku terus berkejar ke rumah atok. Nenda sedang bertarung nyawa dengan penyakitnya. Doktor suspek nenda menghidapi Kanser Usus dan akan disahkan pada 03 Disember 2013. Menurut kata ustaz yang merawat pula, ada orang khianat kat nenda. Dan, tempoh 40 hari pantang sedang nenda jalani. 05 Disember 2013, maka genaplah 40 hari nenda di dalam pantang. Wallahualam.

Sampai aje dekat rumah atok, aku terus ke dapur, mengisi tangki perut dulu. Makan ala kadar dan secepat mungkin. Kemudiannya barulah aku duduk bersila sebelah nenda. Uzur sangat keadaan dia waktu tu. Tangan sejuk, kurus. Dan dia seakan tidak boleh bernafas. Macam orang semput. Bernafas pun dengan mulut.

Aku capai tangan dia. Aku urut perlahan-lahan. Sedikit kelopak matanya terbuka, mungkin dia nak tengok siapa yang pegang tangan dia. Cuma seketika, matanya kembali terpejam. Dan, sekejap-sekejap, terdengar dia seakan bersuara. Macam orang tahan sakit. Risau aku tengok. Perlahan aku tanya dia, "Sakit ke?". Dia geleng. Aku tanya lagi, "Sejuk?". Dia tetap menggeleng.

Dalam hati, tak apalah. Mungkin dia penat. Sekejapan, dia tarik tangan yang aku pegang tu. Aku biarkan aje. Cuma seketika, dia hulur balik tangan dia. Aku pegang lagi. Urut perlahan sambil tengok muka dia. Dia macam tak selesa. Tapi yang aku perasan, mukanya bersih aje. Cantik. Aku tengok kaki dia, tak jatuh lagi. Aku tengok bahu dan hidung dia, pun tak jatuh lagi. Aku rasa ubun-ubun dia, masih keras. Lega.

Dalam jam 11:35 malam, Encik Bos ajak balik. Berat rasa hati nak tinggalkan dia. Tapi, aku balik juga ke rumah. Sebelum tu, aku cium pipi dia. Aku bisik dekat dia, "Kita balik dulu". Dia balas, "Hmm". Aku bisik lagi, "Tidur tau, esok makan banyak-banyak, biar cepat sembuh. Kita nak atok sihat. Esok kita datang lagi". Dan dia masih seperti tadi, sekadar membalas, "Hmm".

Balik ke rumah, aku mandi dan terus tidur. Dalam jam 12:55 pagi, aku tiba-tiba terjaga. Bangun aje dari baring, aku dengar suara Encik Bos cakap, "Tak apa, biar ayah yang beritahu. Tak lama, ayah masuk bilik. "Atok dah tak ada." Mamai aku seketika. Rasa macam tak percaya. Dalam hati berkata, "Dia orang tipu ni, saja nak bergurau." Sungguh, aku tak percaya.

Disember 02, 2013.

Jam 01:00 pagi, kami pergi lagi ke rumah atok. Bila sampai je di selekoh rumah, air mata berjujuran dengan sendirinya. Ya Allah, Kau kuatkan hati aku. Sampai di pintu, pakcik sambut kami. Bila tengok jenazah nenda, aku rasa macam nak meraung. Aku rasa macam nak cakap dekat dia, "Kenapa atok pergi dulu. Atok kata nak sembuh. Atok dah janji nak tunggu kita datang esok. Tok...bangunlah." Tapi bila pakcik aku cakap, "Jangan menangis depan jenazah." Segera aku beristighfar. "Sabar along...mengucap."

Kemudiannya, jenazah dibawa ke tingkat atas rumah. Biasalah rumah kampung. Tak lama lepas tu, adik aku ajak bacakan Yasin buat nenda. Perlahan aku naik ke atas. Setengah dari Yasin, aku bacakan dengan tenang. Bila masuk setengah lagi, bacaan aku mula tersangkut-sangkut. Segala kenangan aku dengan dia bermain dalam minda. Aku masih tak percaya dia dah tak ada.

Usai bacaan Yasin, aku renung jenazah atok. Tanpa sedar, air mata jatuh lagi. Aku tengok dia macam masih bernafas. Perlahan hati berkata, "Kejap lagi atok mesti bangun."

Tak lama kemudiannya, kami balik ke rumah. Mandi dan bersiap. Masa tu, aku masih tak percaya yang dia dah takder. Dalam hati masih berharap, sekejap lagi dia pasti tersedar. Dia cuma bergurau je. Aku harap sangat akan ada keajaiban berlaku.

07:00 pagi, kami pergi semula ke sana. Masa tu, rumah atok dah mula dipenuhi jiran. Aku naik ke atas, aku tengok Puan Mem tengah menangis sambil bacakan Yasin. Kemudian, dia selak penutup muka nenda, pucat. Dia cium-cium pipi nenda yang kesejukan. Aku rasa macam nak peluk nenda waktu tu. Rasa macam nak jerit, "Kenapa tak nak bangun?"

Kemudiannya, aku capai Yasin. Dua kali aku bacakan untuk dia. Dalam hati masih berharap yang nenda cuma tidur. Dia penat. Tak nak diganggu. Dan aku masih berdoa yang dia masih ada dengan kami. Usai bacaan Yasin, dia masih lagi macam tu. Dalam hati berkata, "Tok...bangun laa." Hampa.

09:30 pagi. Urusan untuk memandikan jenazah selesai. Jenazah nenda dibawa turun ke bawah dan diletakkan di dalam tong mandian. Kami anak beranak yang memandikan dia sendiri. Sedih rasa hati tengok dia dimandikan. Dalam hati masih berharap, lepas mandi dia akan terjaga.

Selesai urusan mandian, kami sudah mula dengan kain kafan. Bahagian kaki ditutup. Aku masih berharap, sekejap lagi dia akan terjaga. Bahagian badan ditutup. Harapan makin tipis. Dan, bila dia sudah dipakaikan telekung, aku sudah mula putus harapan. "Memang betul atok dah tak ada."

Usai mengkafankan jenazah, sanak saudara diberi peluang terakhir untuk menatap dan cium dia. Bermula dari Puan Mem dan diikuti yang lainnya. Sebak rasa hati bila tengok Bak Tok cium-cium pipi, dahi dan muka nenda. Dalam hati berkata, "Kuatnya Bak Tok terima takdir Allah."

Kemudiannya, tatkala jenazah keluar dari rumah untuk dibawa ke masjid bagi urusan solat, aku betul-betul tak dapat menahan sebak. Teresak-esak aku nangis. Aku betul-betul rasa kehilangan. Dah tak ada orang lagi yang akan selalu suruh kami makan. Dah tak ada orang lagi yang aku nak bawa bergurau. Dah tak ada orang lagi yang aku boleh ajak buat kuih sama-sama. Dah tak ada orang lagi yang akan nyanyi bersama kami masa memasak. Dah tak ada. Teringat setiap kali aku nak balik ke rumah, aku mesti cakap kat dia, "Tok...kita balik dulu. Atok jangan rindu-rindu kita..." Dan dia pasti mencebik bila dengar aku cakap macam tu. Dan kemudiannya pasti dia tersenyum.

12:00 PM. Jenazah dibawa ke tanah perkuburan. Bila aku sampai, segalanya telah selesai. Allah permudahkan segala urusan dia. Alhamdulillah. Bila teringatkan akan keadaan dia yang mudah, teringat betapa baiknya dia. Kain kafannya berlebihan, bunga mawar berlebihan, payung turut berlebihan. Itulah Puan Mem kata, dia tak pernah lokek dengan orang. Allah pun tak lokek dengan dia. Bunga mawar dan payung turut kami sedekahkan buat kubur di sebelah. Murahnya rezeki dia di sana.

08:30 PM. Tahlil malam pertama. Ramai orang yang hadir. Alhamdulillah. Sewaktu kami selesai mengemas rumah, aku macam ternampak dia. Mungkin sebab aku masih tak percaya yang dia dah tak DA. Atau mungkin aku terlalu rindukan dia. Wajah dia cantik sangat. Senyum Aje tengok kami semua. Alhamdulillah. Mudah-mudahan dia tenang disana.

Innalillahiwainnalillahirojiun.
Dari Dia kita datang, kepada Dia kita kembali...